Rokok elektronik boleh sebabkan kanser




Kuala Lumpur: Rokok elektronik yang menjadi kegilaan ramai didapati mengandungi bahan pengawet yang boleh membawa kepada kanser, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya.

Beliau berkata antara bahan pengawet itu ialah nikotin dan propylene glycol yang apabila dipanaskan (dalam cecair) melebihi lima volt, kombinasi bahan cecair itu akan bersifat seperti bahan pengawet.

"Ramai pengguna menghisap lebih daripada lima volt untuk mendapatkan asap yang banyak.

"Bahan pengawet itu boleh meningkatkan kemungkinan kepada kanser," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Profesion Kesihatan Bersekutu 2015 di Dewan Rakyat hari ini.

Isu itu dibangkitkan beberapa anggota Parlimen termasuk Datuk Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) yang menyatakan kebimbangan penggunaan rokok elektronik yang boleh menjurus kepada peningkatan penyalahgunaan dadah. - Bernama

Credit : SINI

IPU Shah Alam tertinggi, 211 sangat tidak sihat jam 7 pagi


KUALA LUMPUR: Daripada 30 kawasan yang mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 7 pagi ini, Shah Alam mencatat bacaan tertinggi di Malaysia, pada 211 iaitu sangat tidak sihat.

Ini diikuti Pelabuhan Klang (195), Putrajaya (184), Banting (181), Petaling Jaya (178) dan Kuala Selangor (151).

Kawasan lain catat IPU tidak sihat ialah Cheras (147); Batu Muda, Kuala Lumpur (164); Sri Aman (140), Sarikei (112), Samarahan (132) dan Kuching, Sarawak (128); USM dan Seberang Jaya 2 masing-masing (139) manakala Perai di Pulau Pinang (118).

Kangar, Perlis (134); Tanjung Malim (122), Seri Manjung (144), Jalan Pegoh, Ipoh (145), Air Putih, Taiping (115) dan Jalan Tasek, Ipoh di Perak (136). Jerantut, Pahang (105); Seremban (148), Port Dickson (118) dan Nilai, Negeri Sembilan (145) manakala di Bukit Rambai dan Bandaraya Melaka masing-masing 120 dan 114.



Di Kedah, Langkawi mencatat IPU 127; Bakar Arang, Sungai Petani (127) dan Alor Setar (131).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal http://apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.



Credit : SINI