Assalamualaikum
Apa itu Kanser Payudara?
Kanser payudara merupakan kanser utama di kalangan wanita di Malaysia, 1 dalam 19 wanita adalah berisiko. Berbanding 1 dalam 8 wanita di Eropah dan Amerika Syarikat. Kanser payudara bermula dari sel payudara. Kanser payudara adalah biasa pada wanita dan hanya 1% lelaki mendapat kanser ini.
Payudara wanita adalah terdiri dari sel-sel kelenjar lobul yang menghasilkan susu (lobulas), saluran yang bawa susu ke bahagian puting, lemak dan tisu pengantara, saluran darah dan limfa. Kebanyakan kanser payudara bermula dari sel yang melapisi bahagian saluran (ductal cancer), sebahagian lain bermula pada kelenjar lobul (lobular cancer) dan selebihnya bermula dari tisu-tisu lain.
Apabila sel ini sampai ke bahagian tubuh badan yang lain, ketumbuhan baru boleh terjadi di organ tersebut. Keadaan barah merebak ini adalah dikenali sebagai barah sekunder atau metastasis. Perkataan barah juga boleh digunakan dalam keadaan pertambahan sel yang tidak normal tetapi tidak diikuti dengan ketumbuhan atau tumor. Ini adalah seperti yang berlaku dalam penyakit yang melibatkan sel penghasilan darah iaitu penyakit leukimia.
Faktor Risiko Kanser Payudara (KPD)
1.
Adakah aktiviti fizikal mengurangkan risiko KPD?
- Wanita yang bersenam 4 jam seminggu mengurangkan risikonya untuk mendapat KPD. Senaman meningkatkan sistem imun dan mengurangkan paras estrogen.
2.
Adakah diet yang sihat menghindari saya dari mendapat KPD?
- Amalkan pemakanan yang seimbang. Diet yang tinggi kandungan lemak meningkatkan risiko KPD. Lemak meningkatkan hormon estrogen yang menyebabkan pertumbuhan kanser. Banyakkan buah-buahan dan sayur-sayuran dalam diet anda.
3.
Adakah merokok menyebabkan KPD?
- Kebanyakan kajian tidak menunjukkan merokok menyebabkan KPD. Kajian untuk meneliti kaitan di antara KPD dan merokok serta merokok secara pasif masih dijalankan. Walaubagaimanapun, merokok mengurangkan jangka hayat seseorang yang telah disahkan menghidapi KPD.
4.
Adakah pengambilan alkohol meningkatkan risiko saya untuk mendapat KPD?
- Satu atau dua minuman alkohol sehari meningkatkan sedikit risiko anda. Lebih banyak diminum, lebih tinggi risiko anda.
5.
Adakah sejarah keluarga meningkatkan risiko saya?
- Jika anda mempunyai nenek, ibu, adik-beradik perempuan atau anak perempuan yang pernah mendapat KPD, anda memang berisiko tinggi. Lakukan mamogram sekurang-kurangnya 5 tahun lebih awal daripada umur ketika KPD mula- mula dikesan pada saudara terdekat anda. Sila berjumpa dengan doktor sekiranya ada tanda- tanda yang luarbiasa.
6.
Siapakah yang berisiko tinggi untuk mendapat KPD?
- Kebanyakan wanita tidak berisiko tinggi untuk mendapat KPD.Wanita –wanita yang berisiko tinggi untuk mendapat KPD adalah seperti berikut:
- Pernah mengalami sendiri KPD pada sebelah payudara.
- Mempunyai masalah genetik tertentu yang meningkatkan risiko mendapat KPD.
- Mempunyai ibu, adik-beradik perempuan, anak perempuan atau lebih dari 2 orang saudara terdekat (seperti sepupu) yang pernah mengalami KPD , lebih-lebih lagi jika dikesan pada umur muda.
- Masalah payudara yang meningkatkan risiko untuk KPD ( seperti `atypical hyperplasia`), atau pernah menjalani biopsi payudara lebih dari 2 kali untuk masalah payudara bukan kanser.
- Bersalin anak pertama semasa umur lebih dari 30 tahun.
- Faktor-faktor di atas tidak menyebabkan KPD tetapi cuma meningkatkan risiko sahaja. Mempunyai satu atau lebih faktor risiko tidak bermakna anda pasti akan mendapat KPD. Lagipun, hanya 5% wanita yang mengidap KPD mempunyai faktor genetik.
7.
Adakah sejarah haid saya mempunyai kaitan dengan risiko KPD saya?
- Anda berisiko tinggi jika anda akil baligh sebelum umur anda 12 tahun, anda tidak mempunyai anak, bersalin anak pertama selepas umur 30 tahun atau anda menopaus selepas umur anda 55 tahun.
8.
Bolehkah deodaran menyebabkan KPD?
- Satu kajian yang dilakukan dalam tahun 2002 untuk meneliti kaitan di antara KPD dan deodaran tidak menunjukkan peningkatan risiko KPD pada wanita yang menggunakan deodaran bawah ketiak. Begitu juga dengan wanita yang menggunakan pisau cukur tanpa elektrik dan deodaran, serta wanita yang menggunakan deodaran dalam masa 1 jam selepas bercukur dengan pisau cukur.
9.
Jika seseorang wanita tidak mempunyai sejarah keluarga KPD, adakah wanita tersebut berisiko?
- Ya, sebab 80 peratus dari wanita yang mendapat KPD tidak mempunyai sejarah keluarga. Walaupun sejarah keluarga meningkatkan risiko untuk mendapat KPD, ini tidak bermakna jika tiada saudara terdekat ( ibu, adik-beradik perempuan atau anak perempuan) yang mempunyai KPD tiada risiko untuk mendapat KPD.
10. A
pakah risiko saya untuk mendapat KPD sekiranya saya mengambil hormon terapi gantian?
- Anda perlu melakukan ujian mamogram sebelum mengambil hormon terapi gentian dan setiap tahun secara berkala. Pemantauan secara berkala oleh Doktor adalah penting. Risiko meningkat sedikit dengan pengambilan hormon terapi gantian.
11.
Adakah memakai coli sepanjang masa atau `bermain` dengan payudara semasa seks menyebabkan KPD?
- Tidak, apa yang anda pakai dan cara bagaimana payudara disentuh tidak ada kesan ke atas risiko KPD.
12.
Bolehkah saya mewarisi KPD?
- Terdapat beberapa gen abnormal yang dikaitkan dengan risiko tinggi KPD. Dalam keluarga dengan gen-gen abnormal ini KPD boleh diturunkan dari ibu kepada anak. Hanya 10 peratus daripada wanita dengan KPD ada mewarisi gen abnormal ini. KPD yang disebabkan oleh gen abnormal ini biasanya berlaku pada umur muda (bawah 40 tahun), melibatkan beberapa saudara terdekat dan melibatkan satu atau kedua-dua payudara (tetapi biasanya bukan serentak). Gen abnormal ini juga dikaitkan dengan risiko tinggi kanser ovari. Perlu ingat bahawa:
- hanya kerana ibu atau saudara terdekat anda mempunyai KPD, tidak bermakna anda pasti akan mendapat KPD
- kebanyakan wanita yang mendapat KPD tidak ada saudara terdekat dengan KPD
- terdapat banyak faktor risiko untuk KPD dan sejarah keluarga hanya salah satu daripadanya
Jika anda bimbang akan mendapat KPD, sila berbincang dengan doktor anda.
13.
Bolehkah berat badan berlebihan menyebabkan KPD?
- Berat badan berlebihan mungkin boleh meningkatkan risiko mendapat KPD kerana sel-sel lemak menghasilkan estrogen yang boleh merangsangkan pertumbuhan KPD. Wanita sekitar umur 40`an dan 50`an yang paling berat mempunyai 2 kali ganda risiko mendapat KPD berbanding dengan wanita yang paling ringan yang berumur sama.
14.
Bolehkah lelaki mendapat KPD?
- KPD boleh dikesan pada lelaki, tetapi jarang sekali, mungkin 1 peratus dari kesemua kes KPD.
15.
Bagaimana KPD terjadi?
- Faktor penyebab KPD tidak diketahui. Semua wanita berisiko mendapat KPD, tetapi sesetengah wanita lebih berisiko daripada yang lain. Faktor- faktor yang meningkatkan risiko untuk mendapat KPD adalah:
- mempunyai ibu atau adik-beradik perempuan dengan KPD
- akil baligh pada umur muda atau mencapai menopaus pada umur 50`an
- umur lebih 40 tahun
- tidak pernah beranak atau bersalin selepas umur 30 tahun
- mengambil rawatan gantian hormon
- pengambilan alkohol secara berlebihan
- obesiti
16.
Adakah saiz payudara berkaitan dengan risiko KPD?
- Tidak ada bukti yang dapat mengaitkan saiz payudara dengan risiko KPD buat masa ini.
Credit : SINI