Nor Ain Rusli
Nor Ain Rusli

Apa itu Kanser Payudara | Pemeriksaan sendiri dan klinikal payudara

Assalamualaikum


Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP)

1. Berapa kerapkah perlu saya lakukan pemeriksaan sendiri payudara (PSP)?

Lakukan PSP sekali setiap bulan bermula dari umur 18 tahun. Perhatikan jika ada apa- apa perubahan pada tisu payudara seperti perubahan pada saiz, benjolan, kulit berkedut atau lelehan dari puting. 8 daripada 10 benjolan adalah bukan kanser.


2. Bagaimanakah KPD dikesan?

Untuk wanita berusia kurang dari 40 tahun, melalui PSP dan pemeriksaan doktor. Untuk wanita berumur lebih dari 40 tahun, cara yang paling berkesan adalah mamogram. Namun ianya hanya dapat mengesan 80-90% KPD pada peringkat awal. Walaubagaimanapun, doktor perlu juga melakukan pemeriksaan klinikal dan anda perlu melakukan PSP setiap bulan untuk mengesan sebarang perubahan. Tiada satu kaedah yang 100% berkesan.


3. Saya mempunyai suatu benjolan pada payudara saya. Mungkinkah ini KPD?

8 daripada 10 benjolan yang dikesan pada payudara adalah bukan kanser. Ia mungkin gumpalan kelenjar payudara normal atau hyperactive atau sist berisi cecair. Sekiranya anda merasai benjolan dan bimbang ianya KPD, jangan teragak-agak untuk berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan penjelasan. Setiap wanita perlu mengenali payudaranya dengan terperinci dan satu-satunya cara adalah dengan melakukan PSP setiap bulan. Melalui PSP, anda akan mengetahui tekstur payudara. Setiap individu mempunyai tekstur yang tersendiri. Sekiranya anda mendapati terdapat kelainan pada tekstur, segeralah berjumpa dengan doktor.


4. Saya mempunyai masalah ‘Fibrocystic Breast Disease’. Bagaimanakah patut saya lakukan PSP sedangkan payudara saya agak berbenjol-benjol?

Mintalah khidmat nasihat daripada doktor anda untuk mengajar anda PSP. Lakukan PSP sekali sebulan selepas haid bilamana payudara anda paling tidak bengkak dan sakit. Lama-kelamaan anda akan mula ‘mengenali’ payudara anda dan dapat mengesan sebarang perubahan pada payudara anda dengan mudah.

Pemeriksaan Klinikal Payudara

1. Di manakah boleh saya mendapatkan pemeriksaan klinikal?

Anda boleh mendapat perkhidmatan ini dari mana-mana klinik kesihatan, klinik LPPKN ( Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara), klinik FPA ( Persatuan Perancang Keluarga) dan klinik swasta. 


2. Berapa kerapkah perlu saya menjalani pemeriksaan dengan doktor? 

Anda perlu menjalani pemeriksaan fizikal dengan doktor sekali setiap tahun. Jika terdapat tanda- tanda atau perubahan pada payudara sebelum tarikh temujanji dengan doktor, jangan teragak-agak untuk berjumpa dengan doktor dengan segera. 


3. Bolehkah sist bukan kanser berubah jadi kanser?

Sist bukan kanser adalah suatu fenomena biasa dan jarang sekali bertukar jadi kanser. Sekiranya anda mempunyai benjol pada payudara , segeralah berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut. Sesetengah wanita mengalami benjolan siklikal, iaitu sist yang muncul di awal kitaran haid dan lama-kelamaan mengecut atau hilang, dan ia biasanya tidak berbahaya. Anda perlu dapatkan kepastian dari pakar payudara. Sekiranya anda pernah mempunyai sist payudara dahulu, jangan anggap benjolan baru pada payudara adalah sist juga. Jika benjolan tidak hilang atau bertambah besar, segera berjumpa doktor.


4. Bagaimana KPD didiagnosa?

Ramai wanita mengesan KPD sendiri, sama ada secara kebetulan atau semasa PSP. Seringkali KPD dikesan semasa pemeriksaan kesihatan atau saringan mamogram. Mamogram boleh mengesan 80-90 peratus KPD dan boleh mengesan KPD sebelum benjolan boleh dirasai. Kebanyakan benjolan adalah bukan kanser. Semua benjolan payudara mesti diperiksa melalui: 

- pemeriksaan payudara oleh kakitangan kesihatan

- mamogram

- ultrasound payudara (jika berumur kurang dari 35 tahun)

- biopsi tisu jika perlu

Tiada ulasan