Nor Ain Rusli
Nor Ain Rusli

Jerebu akibat kelalaian manusia gambaran petanda kiamat


ALLAH SWT menciptakan langit dan bumi melalui proses yang dikehendaki-Nya. Sebahagian daripada proses kejadian alam telah diterangkan oleh Allah SWT dengan jelas dalam al-Quran. Begitu juga kisah kemusnahan alam semesta apabila tiba masanya.

Fenomena alam semesta serta perubahan yang berlaku pada setiap ruang sudut di maya ini adalah kehendak daripada-Nya juga. Aturan, sistem dan perjalanan dunia telah disusun atur oleh Allah SWT mengikut kehendak-Nya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Allah jugalah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya) dan apabila Dia berkehendak (untuk menjadikan) sesuatu, maka Dia hanya berfirman kepadanya: Jadilah ! Maka, jadilah ia (mengikut kehendak-Nya)." (Surah al-Baqarah, ayat 117)

Segala kemusnahan dan bencana pada hari ini adalah gambaran yang dipertontonkan oleh Allah SWT sebelum datangnya kemusnahan besar yang akan menghancurkan seluruh bumi serta isinya pada hari kiamat nanti.

Fenomena jerebu atau asap yang melanda negara kita baru-baru ini adalah sebahagian gambaran dan ujian Allah SWT. Gambaran dan pengajaran daripada fenomena itu berhubung kait dengan ujian serta kesan daripada tindakan manusia sendiri.

Jelas, tangan-tangan manusia adalah sebahagian daripada penyebab kerosakan dan ketidakseimbangan dunia hari ini. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Telah kelihatan kerosakan di darat dan laut disebabkan tangan-tangan manusia supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada akibat perbuatan mereka dan kembali kepada kebenaran." (Surah ar-Rom, ayat 41)


Azab kepada kaum musyrikin

Al-Quran telah menggambarkan asap pada surah yang diberi nama 'ad-dukhan' atau asap. Dijelaskan oleh Allah SWT mengenai azab kepada satu golongan kaum musyrikin yang menolak seruan Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Maka tunggulah hari ketika langit membawa kabut yang nyata, yang meliputi manusia. Inilah azab yang pedih." (Surah ad-Dukhan, ayat 10)

Ulama mentafsirkan ayat itu sebagai bala dalam bentuk azab kelaparan kepada kaum Quraisy sehingga mereka menghadapi kemarau panjang dan kelaparan. Ketika itu setiap orang melihat seakan-akan di antara langit dan bumi ada kepulan asap menutup pandangan mereka.

Pada ayat seterusnya, surah itu menceritakan mereka berdoa dan bertemu Baginda SAW dengan janji keimanan. Namun segala janji untuk beriman dikhianati dengan tuduhan dan fitnah terhadap Baginda SAW.

Apa yang jelas, kita berhadapan dua azab iaitu pandangan terbatas dan pernafasan terganggu sehingga ramai kanak-kanak menderita kesakitan. Namun, tidak menafikan ancaman umum kepada seluruh orang kafir dan musyrikin dengan asap yang turun menjelang hari kiamat kelak.

Tanda kiamat besar Dalil sahih mengenai tanda kiamat besar disebutkan dalam hadis Hudzaifah yang antaranya muncul ad-dukhan (asap). Sabda Baginda SAW: "Sesungguhnya kiamat tidak akan terjadi hingga ada sepuluh tanda (sebelumnya): gerhana di timur, gerhana di barat, gerhana di Jazirah Arab, asap, dajjal, binatang bumi, Yakjuj dan Makjuj, terbitnya matahari dari barat, dan api yang keluar dari Yaman mengiring manusia." (Riwayat Muslim)

Kezaliman sesama manusia juga mengundang kemurkaan dan bencana daripada Allah SWT kerana munajat orang yang dizalimi tidak akan ditolak Allah SWT. Kemungkinan juga disebabkan kekufuran yang membelenggu akidah mereka sehingga mereka dianggap zalim.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Lalu orang yang zalim melakukan sesuatu yang tidak wajar mereka lakukan. Lalu kami timpakan ke atas mereka seksa dari langit disebabkan perbuatan mereka." (Surah al-Baqarah, ayat 59)

Namun, bagi yang beriman ia dianggap ujian kesabaran serta pemeriksaan keimanan mereka terhadap kekuasaan dan takdir Allah SWT. Mereka perlu menerima segala musibah sebagai peringatan, bermuhasabah diri serta memperbaiki segala kelemahan yang ada.

Beri ujian

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan Kami akan memberi ujian padamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kesempitan hidup serta hasil bumi yang berkurangan. Maka bergembiralah mereka yang sabar." (Surah al-Baqarah, ayat 155)

Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya menjelaskan Allah SWT menguji hamba-Nya bagi mengetahui mereka yang dapat bertahan dan sabar.

Berbekalkan semangat hijrah, bersamalah kita memperbaiki segala kelemahan yang telah dilakukan sebelum terlewat. Sabda baginda SAW: "Bersegeralah kalian beramal sebelum datangnya enam perkara: terbitnya matahari dari arah barat, datangnya asap, munculnya Dajjal, keluarnya ad-Dabbah (binatang yang dapat berbicara), kematian atau datangnya hari kiamat yang merata." (Riwayat Muslim)

Sesungguhnya terdapat 1001 hikmah di sebalik kejadian dan takdir-Nya jika kita benar-benar mahu berfikir. Segala janji dan peringatan Allah SWT mengenai peristiwa akhir zaman akan pasti terjadi kerana ia adalah wahyu daripada-Nya.

Gambaran kiamat yang besar telah ditunjukkan di hadapan mata kita sendiri sebagai iktibar dan pengajaran. Barat juga telah menterjemahkan gambaran itu melalui filem dan cerita mereka. Justeru, ambillah peluang bulan mulia ini untuk memperbaiki diri dan menjadi hamba lebih bertakwa.

Credit : SINI

2 ulasan

  1. Moga musibah jadi ingatan,
    kerana manusia sendiri yang merosakkannya, telah nyata dalam AQ

    BalasPadam