Segelintir berpendapat bahawa ibu yang lepas bersalin dan perlu menyusukan bayi tidak boleh berpuasa ketika bulan ramadhan. Atau ada yang berpendapat si ibu perlu memberi susu lembu sahaja. Ia tanggapan yang salah, ibu masih boleh menyusukan walaupun berpuasa dan ia adalah selamat. Secara asasnya berpuasa tidak mengganggu pengeluaran susu ibu, namun sekiranya ibu merasakan ia akan membahayakan kesihatannya atau anaknya, dibenarkan untuk berbuka. Disini disediakan beberapa tips pemakanan yang membantu ibu yang menyusukan bayi ketika bulan puasa dan kekal bertenaga sepanjang hari.
1. Minum air yang mencukupi
Ibu yang menyusukan anak perlu minum air yang mencukupi ketika sahur atau selepas berbuka bagi mengelakkan dehidrasi yang menyebabkan susu ibu berkurang pada siang hari. Seeloknya minum 2 liter atau bersamaan dengan 8 gelas air sehari.
2. Bersahur
Ibu yang menyusukan perlu memastikan dirinya bersahur setiap hari. Makan seperti biasa, tetapi seeloknya kurangkan pengambilan makanan yang bergoreng dan mengandungi banyak minyak kerana ia akan mengurangkan nutrisi makanan yang dimakan.
3. Makan kurma
Seeloknya berbukalah dengan kurma terlebih dahulu. Ia untuk membekalkan tenaga segera kepada ibu yang keletihan setelah berpuasa sepanjang hari. Atau boleh minum shake kurma yang dicampur dengan susu soya. Lebih elok tambahkan oats bagi mendapatkan rasa kenyang yang lebih lama, oats juga boleh membantu menambah susu badan.
4. Banyakkan buah dan sayur
Banyakkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran. Walaubagaimanapun bagi ibu yang masih di dalam pantang tidak elok makan sayur dan buah yang bersifat sejuk seperti ulam, pucuk ubi kayu, kekacang, paku pakis, kobis, kangkung, timun, bayam, tembikai, jambu batu dan air kacang soya. Juga elakkan dari makan makanan yang bersifat tajam dan berbisa seperti rebung, tebu, air kelapa, cuka dan nenas
5. Minum coklat suam
Ibu yang sedang menyusukan masih boleh menghasilkan susu yang banyak ketika berpuasa tetapi jumlah lemak dalam susu badan akan berkurangan. Ini bukanlah satu masalah tetapi akibatnya bayi akan mudah berasa lapar dengan lebih cepat dan ingin menyusu dengan lebih kerap. Boleh diminimakan dengan memastikan diet ibu mengandungi lemak yang mencukupi. Tambahkan keju di dalam diet, gunakan mentega atau sebaiknya minum susu atau coklat suam sebelum tidur.
6. Makan madu
Ibu yang menyusukan amat digalakkan makan madu pada setiap hari kerana selain menambah stamina, ia berupaya meningkatkan kadar serapan kalsium dalam badan. Malah ia merupakan sumber tenaga yang hebat dan semulajadi. Juga berfungsi sebagai nutrisi lengkap untuk meningkatkan dan melancarkan Susu.
7. Kurangkan minuman bikarbonat
Walaupun ibu yang menyusukan ketika bulan puasa digalakkan minum air yang banyak tetapi dinasihatkan supaya kurangkan pengambilan minuman yang mengandungi banyak gula seperti air bikarbonat (atau tidak mengambil langsung) dan minuman berkafein seperti kopi.
Credit : Sini
Semoga bermanfaat
Tiada ulasan