Nor Ain Rusli
Nor Ain Rusli

Cinta: realiti atau khayalan?


Qais mengatakan, “Apabila aku memasuki Kota Baghdad, maka di setiap pintunya aku terpandang wajah-wajah Laila.”

Pernah sekali Qais memasuki sebuah masjid yang di dalamnya terdapat seorang lelaki yang sedang bersolat. Qais yang sedang fana dengan cintanya terhadap Laila lantas melanggar lelaki tersebut. Lelaki itu cuba menepisnya tetapi tidak berjaya. Setelah selesai solatnya, dia memarahi Qais dengan berkata: “Kamu tak nampakkah aku sedang solat?” Qais menjawab : “Oh, aku tak menyangka bahawa cintaku kepada Laila lebih khusyuk daripada cintamu kepada TuhanMu!”

Al- Asmu’I bertanya kepada seorang A’rabi (arab biasa) mengenai cinta, katanya:

“Demi Allah cinta tu teramat agung dari dapat dilihat. Ia luput dari penglihatan. Cinta ada bersemayam di dalam dada, seperti api di dalam batu, jika di nodai ia akan membakar, tetapi jika dicuba untuk ditinggalkan, ia kan selalu membayangi”.

Berkata Luqmanul Hakim kepada anaknya:

“Nafsu bagi orang yang beriman, seperti api di dalam batu, bila digeser ,ia akan membakar. Kiranya disekilingnya ada kayu-kayu api yg membakar, ia akan memusnahkan apa yg di sekelilingnya termasuklah tuannya.”

Sesungguhnya nafsu itu apabila digeserkan ia akan mula menghambat diri malah akhirnya akan memusnahkan tuannya. Sebab itu, jangan digeserkan walau sedikit walaupun hanya bertanya kabar.

Situasi contoh: Seorang lelaki berselisih dengan seorang wanita.

Lelaki: “Hai, Assalamualaikum..”

Perempuan: “Waalaikumussalam..”

Lelaki: “Sorang je ke?”

Perempuan: “Ye sorang je.”

Apabila digeserkan, maka akan terdetik di hati lelaki tadi, “Melayan jugak la perempuan tadi..” Dan begitu juga si perempuan, “Siapa lelaki tu ye, berani-berani tegur aku..” Selepas itu akan bermulalah babak yang seterusnya. Sebab itu jangan sekali-kali kita cuba menggeserkan keadaan walaupun dengan mengucapkan salam. Kerana, ucapan salam pada situasi begini hanya akan mengundang fitnah.



Al- Asmu’i bertanya lagi kepada A’rabi itu mengenai keterpikatan. Beliau berkata:

“Jalannya sangat rumit untuk difahami, tmptnya tersembunyi dari penglihatan, serta proses kejadiannya begitu membingungkan otak manusia, awal mula tergeraknya berasal dari hati kemudian ke seluruh badan ,sehingga muncullah getar dalam pelbagai indera, pucat wajahnya, berubah dalam pandangannya, serta gugup dalam berbicara , lemah longlai dan diliputi rasa kehancuran, sehingga orang yang mengalaminya dapat dikategorikan dengan kegilaan.”

Sebab itu perlu difahami bahawa cinta itu adalah perkara normal. Oleh itu, apabila cinta itu mula datang pada hati, kita hendaklah berkongsi masalah dengan orang yang alim dalam beragama, amanah dan ikhlas untuk membantu kita. Kerana, jika tidak, dia akan mengaibkan dan membuat fitnah tentang diri kita. “Tak sangka berkopiah, tak sangka dengan sifat waraknya, rupa-rupanya jatuh cinta...” Oleh itu, janganlah berkongsi masalah dengan seseorang yang diragui kejujurannya. Boleh jadi dia akan menyebarkan luahan yang diterima yang akhirnya mengaibkan kita dan menimbulkan fitnah. Ataupun, dia akan menasihatkan kita dengan ‘saranan’ yang mendorong kita untuk meluahkan perasaan terus kepada wanita tersebut dan bermulalah detik-detik percintaan yang tidak diredhai.

Situasi contoh-1:

Pernah berlaku pada seorang wanita, yang menyuarakan hasratnya kepada sahabatnya, bahawa dia jatuh hati kepada seorang lelaki yang baik dan soleh. Wanita itu juga adalah wanita yang solehah. Lalu sahabat tadi menyampaikan hajat wanita tadi kepada lelaki tersebut. Setelah dipertimbangkan, lelaki itu tidak berhajat untuk berkahwin dengannya. Lalu dicadangkan kepada wanita tersebut untuk ‘digantikan’ dengan seorang lelaki yang lain yang sama perwatakannya dengan lelaki tadi. Wanita itu pun bersetuju dan akhirnya mereka pun berkahwin. Didalam situasi ini, wanita tersebut tidak berasa aib kerana lamarannya ditolak, malah emosinya tidak terganggu kerana hasratnya tidak disuarakan secara direct kepada lelaki tersebut. Cara seperti inilah yang digalakkan dalam Islam.

Situasi contoh-2:

“Seorang doktor pernah mengadakan seminar di sebuah pusat pengajian tinggi Islam. Bidang kedoktorannya sememangnya berkaitan dengan wanita di bahagian sakit puan, tetapi tidak pernah terdetik dihatinya untuk meminati seorang pun dari wanita-wanita yang pernah berjumpa dengannya. Ketika di dalam seminar tersebut, hatinya terasa tenang melihat wanita-wanita muslimah bertudung labuh yang mendengar ceramahnya. Timbul perasaan kagum terhadap mereka. Tiba-tiba bangun seorang wanita untuk bertanyakan soalan. Doktor tersebut tersentak apabila melihat wanita itu, dan tiba-tiba lidahnya kelu untuk menjawab pertanyaannya. Terbit rasa debaran yang sedikit mengganggu emosinya. Namun dia cuba juga untuk mengawal perasaannya dan menjawab pertanyaan tadi dengan baik. Seminar itu bertangguh sebentar sehingga disambung semula dengan sesi yang kedua. Kali ini, dia membawa seorang sahabatnya untuk membantunya. Tiba-tiba wanita itu sekali lagi bertanyakan soalan kepadanya. Setelah tamat seminar tersebut, dia menyuarakan hasratnya untuk mengenali wanita itu melalui sahabatnya. Lalu setelah diselidik, doktor tersebut pun membuat pertemuan bersama keluarga wanita itu tanpa pengetahuannya. Tetapi malangnya lamarannya itu ditolak. Kerana bapa wanita itu hanya mahukan lelaki yang berpendidikan agama. Doktor itu tidak putus asa dan berjanji akan datang semula untuk meminang wanita itu sekali lagi. Lalu dengan perasaan cintanya yang mendalam terhadap wanita tersebut, dia telah menyambung pengajiannya di dalam bidang syariah selama empat tahun di universiti Al-Azhar. Setelah tamat pengajiannya, dia kembali meminang wanita tersebut dan akhirnya mereka pun berkahwin.”

Kisah seperti diatas sememangnya jarang kita dengar, kerana itulah yang dikatakan cinta yang sejati sehingga lelaki itu sanggup untuk melanjutkan pengajian untuk jangkamasa yang lama, malah tidak pernah sekalipun menyuarakan hasratnya terus kepada wanita itu. Bahkan dia menyatakan hasratnya dengan kaedah yang digalakkan dalam Islam.

Antara Cinta dan Keinginan Syahwat

Cinta dan syahwat adalah dua perkara yang berbeza. Cinta itu bukanlah syahwat dan syahwat itu hanyalah merupakan satu cabang darinya. Orang yang gila syahwat ibarat orang yang menyukai semangkuk makanan, apabila ia telah kenyang, ia akan menyingkiri makanan tersebut. Mereka bukanlah cinta tetapi cinta kepada syahwat. Sebab itu kedapatan banyak berlaku penceraian dengan begitu mudah kerana ramai orang yang berkahwin hanya kerana dorongan ini sahaja. Apabila telah tertunai nalurinya, dengan mudah berlaku penceraian malah dengan semudah itu pula mereka ingin berkahwin lain. Apabila asas itu tidak kukuh umpama ia membina sebuah bangunan yang rapuh dan menunggu masa untuk runtuh. Andainya ia amat mencintai wanita itu kerana kecantikan dan syahwat, suatu masa nanti kecantikan itu akan pudar. Lain halnya dengan orang yang benar-benar cinta kerana agamanya, perasaan cinta itu akan kekal sekalipun ia dapat atau tidak menunaikan nalurinya. Seandainya ditakdirkan bahawa isteri yang baru dinikahinya mengidap penyakit barah rahim, kerana keikhlasan cintanya dia sanggup menjaganya.

Umar bin Abdul Aziz pernah berkata kepada isterinya ketika beliau menerima jawatan sebagai khalifah, bahawa beliau akan menguruskan jawatannya dengan baik. Isterinya diberi pilihan, sama ada dunia atau dirinya. Lalu isterinya memilih untuk bersamanya. Pernah seorang bertanya kepada isterinya, apakah perkara yang paling agung yang berlaku semasa Umar menjadi khalifah. Beliau mengatakan, “Sepanjang beliau menjadi khalifah, aku tidak pernah mandi junub.” Beliau tiada masa untuk bersama isterinya kerana sibuk dengan urusannya menjadi khalifah. Namun begitu, isterinya tetap cinta kepada suaminya.
Sebab itu apabila perasaan cinta kepada pasangan itu mengatasi keinginan syahwatnya, yang dibina di atas dasar agama, barulah akan lahir cinta yang sejati dan mereka tidak akan mendedahkan keaiban masing-masing kepada orang lain apabila berlaku sebarang masalah dalam rumahtangga mereka. Ini kerana banyak berlaku di mahkamah, di mana si isteri atau si suami sanggup mendedahkan keaiban pasangannya di hadapan khalayak. Lantaran itu, pernikahan itu hendaklah didasari dengan niat untuk mengamalkan tuntutan agama dan mengikut sunnah Nabi-Nya. Jika tidak, bila- bila masa sahaja rumahtangga yang dibina akan mudah runtuh.


Rujukan: Ceramah Cinta: Ustaz Ismail Musytari-UTM



Tiada ulasan