Bulan Ramadan adalah bulan yang ditunggu-tunggu oleh masyarakat Muslim di serata dunia. Ia adalah bulan yang mulia dan istimewa kerana diwajibkan ke atas semua individu beragama Islam untuk menunaikan ibadah puasa. Walau bagaimanapun, jika seseorang itu sakit atau tergolong dalam golongan pesakit yang uzur, adakah ia boleh berpuasa?
Pesakit diabetes adalah antara golongan pesakit yang berisiko ketika berpuasa. Makanan dan ubat-ubatan boleh mempengaruhi paras gula dalam darah bagi pesakit diabetes. Oleh itu seseorang pesakit diabetes boleh dan sesuai untuk berpuasa jika status diabetesnya terkawal dengan baik.
Namun begitu, pesakit diabetes yang menggunakan insulin adalah berisiko tinggi untuk mendapat hipoglisemia (paras gula rendah dalam darah) dan dehidrasi (kehilangan air dalam badan) jika pengambilan dos insulin dan corak pemakanan tidak dijaga dengan betul ketika bulan Ramadan.
Apa anda perlu lakukan semasa berpuasa
Untuk pesakit diabetes, kerapkan pemeriksaan paras gula dalam darah ketika dalam bulan Ramadan. Cadangan masa untuk ujian paras gula darah adalah seperti berikut; Sebelum sahur dan sebelum berbuka puasa (sasaran paras gula : < 4.4 - 6.1 mmol/L) dan 2 jam selepas sahur dan 2 jam selepas berbuka puasa (sasaran paras gula : < 4.4 - 8.0 mmol/L).
Pemantauan paras gula adalah sangat penting berikutan risiko hipoglisemia yang lebih ketara berlaku pada bulan Ramadan. Selain daripada itu, pesakit diabetes disarankan untuk percepatkan berbuka apabila tiba waktunya dan amalkan bersahur pada penghujung waktu bagi mengelakkan tempoh berpuasa yang lebih panjang. Elakkan juga melakukan aktiviti fizikal yang berat semasa tempoh berpuasa.
Sesetengah pesakit perlu melakukan pengubahsuaian waktu suntikan dan juga dos insulin. Oleh itu rujuk doktor yang merawat untuk mendapatkan nasihat berkaitan dos insulin ketika berpuasa. Jenis makanan juga perlu dijaga dan diberikan perhatian oleh pesakit diabetes. Hadkan pengambilan makanan yang masin untuk mengurangkan risiko dehidrasi dan pengambilan makanan yang manis ketika berbuka puasa serta pastikan minum air secukupnya.
Bila perlu berbuka puasa
Terdapat beberapa situasi yang memerlukan pesakit diabetes untuk berbuka puasa. Apabila paras gula dalam darah kurang daripada 3.9 mmol/L pada bila-bila masa ketika berpuasa, seseorang pesakit diabetes ini dinasihatkan untuk berbuka puasa. Keadaan ini dinamakan hipoglisemia.Gejala-gejala hipoglisemia adalah seperti berpeluh, menggeletar, berdebar-debar dan pening dan mengalami gejala dehidrasi yang teruk seperti pengsan atau keliru. Dalam situasi seperti ini, pesakit perlu mengambil sumber manisan seperti gula-gula atau air yang manis untuk meningkatkan semula paras gula dalam darah.
Selain daripada itu, untuk pesakit diabetes yang mempunyai paras gula dalam darah melebihi 16.7mmol/L juga dinasihatkan untuk berbuka puasa dan mengambil ubat diabetes secepat mungkin jika masih belum mengambilnya atau terlupa mengambilnya semasa waktu sahur atau waktu berbuka puasa tadi. Keadaan gula yang tinggi dalam darah juga boleh membahayakan kesihatan.
Pengubahsuaian dos insulin semasa berpuasa
Kajian menunjukkan kurang daripada 50% pesakit yang mengubah dos ubat insulin mereka pada bulan Ramadan. Semasa bulan Ramadan, sudah tentu dos insulin perlu sedikit pengubahsuaian mengikut keperluan tubuh. Ini kerana terdapatnya perubahan diet dan aktiviti seharian pesakit sepanjang bulan Ramadan.Kajian juga menunjukkan episod hipoglisemia kerap berlaku pada bulan Ramadan berbanding bulan-bulan lain. Haruslah diingatkan, sebarang pengubahsuaian dos insulin adalah secara individu dan tidak boleh digunapakai secara umum oleh individu lain. Pesakit diabetes haruslah mendapatkan nasihat daripada doktor, ahli farmasi atau jururawat terlatih sebelum melakukan sebarang perubahan dalam pengambilan ubat-ubatan diabetes.
Secara amnya, sebarang penukaran dos dan waktu suntikan adalah bergantung kepada regimen suntikan insulin masing-masing. Sebagai contoh, jika pesakit menggunakan insulin jenis pracampur (campuran insulin bertindak cepat dan sederhana) dengan dos suntikan dua kali setiap hari (pagi dan malam) pesakit seperti ini dinasihatkan agar terbalikkan dos suntikan insulin iaitu dos suntikan insulin pracampur untuk waktu pagi diberikan ketika waktu berbuka dan dos malam pula diberikan ketika waktu bersahur.
Selain daripada itu, pesakit juga perlu mengurangkan dos pada waktu sahur sebanyak 20-50% berdasarkan paras gula dalam darah individu untuk mengelakkan hipoglisemia pada waktu berpuasa di siang hari.
Walau bagaimanapun, jika pesakit hanya menggunakan insulin pracampur sekali sehari, pesakit bolehlah menyuntik dos biasa ketika waktu berbuka. Contoh insulin pracampur adalah seperti Insugen 30/70® dan Mixtard 30/70®.
Satu lagi contoh adalah jika pesakit diabetes hanya dipreskripsikan suntikan insulin jenis basal sekali sehari, pesakit bolehlah menyuntik insulin apabila hendak tidur malam ataupun selepas berbuka. Walau bagaimanapun, dos insulin mungkin perlu dikurangkan jika terdapat risiko hipoglisemia pada waktu siang. Contoh insulin basal adalah seperti Insugen N®, Humulin N® dan Insulatard®.
Kaedah berbuka bagi pesakit yang menggunakan insulin.
Pesakit diabetes mungkin tertanya-tanya bagaimana harus mereka berbuka puasa jika perlu menyuntik insulin dan tunggu setengah jam sebelum makan. Jika pesakit menggunakan insulin pracampur atau insulin jangkamasa pendek seperti Actrapid® atau Insugen R®, apa yang boleh anda boleh lakukan adalah makan 1 atau 2 biji kurma ketika berbuka, kemudian, suntik insulin tersebut. Selepas itu, bolehlah menunaikan solat Maghrib. Waktu terbaik untuk makan adalah 30 minit selepas suntikan insulin.
Pesakit diabetes atau penjaga juga perlu waspada tentang risiko berpuasa, kerap menguji paras gula, tahu bila perlu berbuka, minum air secukupnya, perancangan dan pemilihan makanan, dan yang paling penting waktu pengambilan ubat-ubatan dan insulin dan juga perubahan dos yang perlu dilakukan.
Dapatkan nasihat daripada doktor berkaitan status penyakit diabetes anda. Manakala dapatkan nasihat terkini berkaitan pengambilan ubat-ubatan diabetes ketika berpuasa daripada ahli farmasi.
Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1 800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat jam 8.00 pagi - 5.00 petang).
Sumber : KKM