Tanda-tanda Kanser Payudara
1. Apakah tanda-tanda awal KPD?
Tanda paling kerap adalah benjol atau penebalan tisu payudara. Tanda-tanda lain adalah perubahan pada saiz atau bentuk payudara, lelehan dari puting atau perubahan pada warna dan rupa kulit payudara. Kadang kala, tidak ada sebarang tanda sehinggalah KPD telah merebak. Sebab itulah mamogram adalah penting.
2. Jika saya mengalami sakit payudara, adakah saya mempunyai KPD?
Anda tidak perlu bimbang jika satu-satunya gejala yang anda alami adalah kesakitan. Peringkat awal KPD tidak menyebabkan kesakitan. Lagipun, peringkat awal KPD mungkin tidak menunjukkan apa-apa tanda langsung. Jika anda masih bimbang, sila berjumpa dengan doktor untuk penjelasan lanjut.
3. Apa berlaku jika benjol dikesan pada payudara?
Doktor akan menggunakan suatu jarum untuk mengeluarkan cairan atau sedikit tisu dari benjol tersebut.Ini akan menunjukkan sama ada benjol tersebut adalah sist berisi cecair (bukan kanser) atau ketulan (kanser/bukan kanser). Doktor juga melakukan biopsi di mana sebahagian atau keseluruhan benjol dikeluarkan dan dihantar ke makmal patologi untuk dipastikan sama ada ianya kanser atau bukan kanser. Pemeriksaan ultrasound kadang-kadang digunakan untuk mengenalpasti jenis (sama ada solid atau cystic) dan bilangan benjolan yang ada.
4. Adakah lelehan dari puting suatu petanda KPD?
Lelehan bercampur darah atau lelehan sebelah sahaja adalah tidak normal dan memerlukan pemeriksaan doktor dengan segera. Pendek kata, sebarang lelehan puting yang membimbangkan perlu dilaporkan kepada doktor anda untuk pemeriksaan lanjut.
Kembali ke Atas
Pemeriksaan Sendiri Payudara(PSP)
1. Berapa kerapkah perlu saya lakukan pemeriksaan sendiri payudara (PSP)?
Lakukan PSP sekali setiap bulan bermula dari umur 18 tahun. Perhatikan jika ada apa- apa perubahan pada tisu payudara seperti perubahan pada saiz, benjolan, kulit berkedut atau lelehan dari puting. 8 daripada 10 benjolan adalah bukan kanser.
2. Bagaimanakah KPD dikesan?
Untuk wanita berusia kurang dari 40 tahun, melalui PSP dan pemeriksaan doktor. Untuk wanita berumur lebih dari 40 tahun, cara yang paling berkesan adalah mamogram. Namun ianya hanya dapat mengesan 80-90% KPD pada peringkat awal. Walaubagaimanapun, doktor perlu juga melakukan pemeriksaan klinikal dan anda perlu melakukan PSP setiap bulan untuk mengesan sebarang perubahan. Tiada satu kaedah yang 100% berkesan.
3. Saya mempunyai suatu benjolan pada payudara saya. Mungkinkah ini KPD?
8 daripada 10 benjolan yang dikesan pada payudara adalah bukan kanser. Ia mungkin gumpalan kelenjar payudara normal atau hyperactive atau sist berisi cecair. Sekiranya anda merasai benjolan dan bimbang ianya KPD, jangan teragak-agak untuk berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan penjelasan. Setiap wanita perlu mengenali payudaranya dengan terperinci dan satu-satunya cara adalah dengan melakukan PSP setiap bulan. Melalui PSP, anda akan mengetahui tekstur payudara. Setiap individu mempunyai tekstur yang tersendiri. Sekiranya anda mendapati terdapat kelainan pada tekstur, segeralah berjumpa dengan doktor.
4. Saya mempunyai masalah ‘Fibrocystic Breast Disease’. Bagaimanakah patut saya lakukan PSP sedangkan payudara saya agak berbenjol-benjol?
Mintalah khidmat nasihat daripada doktor anda untuk mengajar anda PSP. Lakukan PSP sekali sebulan selepas haid bilamana payudara anda paling tidak bengkak dan sakit. Lama-kelamaan anda akan mula ‘mengenali’ payudara anda dan dapat mengesan sebarang perubahan pada payudara anda dengan mudah.
Tiada ulasan