Nor Ain Rusli
Nor Ain Rusli

Kita Semua Munafik


Aku teringat satu pesanan daripada seorang sahabat ni.

"Semua orang munafik. Kita semua munafik. Tapi sekarang InshaAllah kita sama-sama keluar daripada kepompong kemunafikan dalam diri kita ni... "

Memang hakikatnya, tiada siapa yang sempurna. Kita manusia, golongan muharikk (penggerak) ini pun ada kisah dan jalan ceritanya. Dan aku yakin, bukan semua yang berada dalam jalan dakwah ini mempunyai latar belakang yang sememangnya mengamalkan islam secara khaffah, secara syumul. Malah, mungkin ada antara orang yang terhebat dalam jalan dakwah dan tarbiyah sekarang ini dahulunya dia ialah kaki gamers, casanova, kuat bersosial atau mungkin pakai tudung singkat lilit-lilit, duit habis dilaburkan untuk perkara yang tak berfaedah. Boleh kata semua jenis kemaksiatan atau kejahilan kita pulun. Paling tidak pun, kalau memang daripada keluarga yang berfikrah, ada juga keji kejian di mana-mana.

Ya, ini kita. Hakikatnya, setiap orang ada lompongnya. Setiap orang ada kelemahannya. Dan sememangnya setiap orang ada kisah silam dia; yang mungkin dibiarkan rahsia.

Di sinilah bermulanya alkisah si munafik. Hipokrit. Ya, ini kisah kita, aku, kau dan dia. Si orang yang daripada kejahatan, kejahilan dan kemaksiatan, ingin membawa satu perubahan. Siapa yang pilih jalan ini akan merasai, inilah jalan pengubah dan mengubah. Mengubah erti nilai sebenar kehidupan kita.

Yakni, semua orang hipokrit. bagaimana si bengis itu boleh tanamkan perasaan cinta untuk menghabiskan tilawah satu Al-Qurannya dalam masa yang singkat, seperti mana itu juga ,si playgirl itu boleh menjaga pergaulannya dalam seketika, atau mungkin budak tudung bidang 45 bertukar menjadi tudung labuh bawah lutut. Ini semua hakikatnya memerlukan masa. Perubahan itu sendiri memerlukan masa. Dan memerlukan sifat hipokrit kita. Perubahan itu hipokrit. Berbuat kebaikan tanpa wujudnya keikhlasan. Berubah meninggalkan kejahilan ketika mana nafsu ini meronta untuk lepaskan ikatan.

Nah, kerana itu, jangan pernah bingung.

Jika dia masih berada di tampuk lama, nasihati dia, kerana perubahan itu bukan dalam sekelip mata ,yang kau sudah menganggap dia umpama malaikat. Bukan dalam sesaat , dia akan terus bertaubat. Hakikatnya, andai terzahirnya kesalahan, teruskanlah membimbing bukan menunding. Ya, kita sama. Aku dan kau, kita sama. Sama-sama ingin berubah dan menjadi pengubah. Sama-sama ingin keluar dari lembah kefuturan. Oleh itu, sama-sama perlu fahami , mungkin si dia sedang mencuba ketika mana kau kata dia sedang alpa.

Bagaimanapun, berbuat dahulu , berubah dahulu dan berkorban dahulu. Ikhlas akan datang kemudian.

Cermin diri, mungkin si munafik itu masih lagi kita.

Tiada ulasan