30 November 2015

Jiwa tenang jika pandai kawal emosi

Assalamualaikum

SEMUA orang berdepan tekanan (stress) tetapi yang membezakannya ialah berapa kerap kita mengalami situasi itu dan tahap tekanan yang dihadapi. Ada yang berdepan tekanan dengan tenang, tidak kurang yang tidak mampu menghadapi tekanan.

Jiwa tenang adalah anugerah daripada Allah SWT berkat sabar dilalui hamba-Nya. Namun, tidak semua mempunyai kesabaran yang tinggi. Segmen Usrati yang bersiaran jam 5.15 petang setiap Khamis mengupas tajuk tekanan.

Ustazah Norhafizah Musa memulakan perbincangan dengan memetik firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada tuhan kamu dalam keadaan kamu reda dan kamu diredai. Maka masuklah dalam golongan hamba-Ku dan masuklah syurga-Ku." (Surah al-Fajr, ayat 27-30)

Surah ini wajar dijadikan asas untuk memiliki jiwa tenang dan bagi yang memiliki jiwa yang tenang akan dipanggil dengan penuh penghormatan oleh Allah SWT untuk memasuki syurga-Nya. Adakah kita antara mereka yang memiliki jiwa yang tenang?

Tekanan terbahagi dua

Tekanan terbahagi kepada dua iaitu tekanan dalaman dan luaran. Kebanyakan kita mengalami tekanan dalaman kerana memikirkan sesuatu perkara itu dengan berlebihan. Pada hal masalah kita tidaklah sebesar mana. Ini namanya risau tidak bertempat.

Bukan sahaja perempuan, lelaki juga banyak yang mengalami tekanan. Apabila dilanda tekanan, ia bukan saja membuatkan kita rasa berdebar-debar, jantung berdenyut laju, malah otot dan badan akan turut sakit. Banyak ciri-ciri yang boleh kita lihat apabila seseorang itu tertekan antaranya cepat berpeluh, bercakap dengan terketar-ketar, tangan dan kaki menjadi sejuk serta pelbagai lagi.

Tekanan luaran lebih kepada faktor persekitaran. Apabila kita beralih persekitaran atau suasana, tekanan dialami akan hilang. Panduannya mudah, jangan terlalu ambil pusing dengan cakap-cakap orang, kerana manusia memang suka mencari dan mencipta salah orang lain.

Jangan kita bazirkan masa memikirkan hal tidak penting. Tanpa sedar, ada kala kita sendiri yang mencipta tekanan kepada diri. Bagaimanapun, jika kita tidak pernah mengalami tekanan, itu tidak normal kerana tekanan adalah lumrah kepada manusia.

Kita akan mengalami sakit, menempuhi pelbagai masalah kerana itulah kehidupan. Memang Allah susunkan begitu supaya ada keseimbangan. Nabi SAW membimbing kita untuk memiliki jiwa yang tenang dan berakhlak walaupun berdepan pelbagai ujian hidup.

Seseorang yang memiliki jiwa tenang boleh dilihat dalam caranya meniti kehidupan sehari-hari. Walaupun kita ada kekurangan, jangan cepat mengalah kerana itulah proses untuk mencapai jiwa tenang. Jatuh bangun perkara biasa, jatuh tersungkur sudah tentu. Memang payah untuk melaluinya kerana jiwa kita tidak tenang.

Ambil semangat daripada kisah orang

Ada kala kita perlu mengetahui kisah mereka yang pernah berdepan ujian yang perit supaya dapat mengambil semangat daripada mereka untuk membina keyakinan serta memperkuat pertahanan diri seterusnya kekal positif.

Putus asa adalah perkara biasa bagi manusia tetapi kita boleh mengatasinya dengan meneladani jiwa yang ada pada Rasulullah SAW yang memiliki jiwa tenang.

Tip mudah yang boleh dilakukan apabila berdepan ujian ialah bertenang dengan menarik nafas. Keadaan diri yang tenang membolehkan otak berfungsi dengan baik dan kita mampu berfikir secara rasional untuk mendepani situasi itu.

Akhlak terbaik dalam dunia dan menjadi akhlak ahli syurga iaitu memaafkan orang yang menzalimi, menyambung silaturahim dan memberi kepada orang yang kedekut dengan kita.

Antara ciri yang menggambarkan jiwa tenang ialah memiliki hati yang boleh merasa seolah-olah nampak Allah SWT dengan segala keindahan-Nya, membuatkan kita sabar dengan segala ujian. Orang yang memperoleh hati sebegini tidak cepat melatah dalam hidupnya.

Kita harus sabar untuk mengharapkan reda Allah SWT. Orang yang jiwanya tenang, hatinya sentiasa tenang. Andai jatuh berulang kali, masih boleh bangun untuk meneruskan kehidupan. Justeru, belajarlah mengawal emosi.

Credit : SINI

Previous Post
Next Post

post written by:

Kurus dengan mudah dan sihat. 

Agent Sah Medina Desire. 

5 ulasan: