Terpulanglah pandangan masing-masing tetapi sebenarnya cara ini cukup bagus untuk latih anak jadi manusia, yang lebih bertanggung jawab dan ringan tulang. Malah kalau dilihat pandangan cikgu Mohd Fadli Salleh sendiri, dia lebih suka didik anak murid dengan cara ini...
Sekeping gambar, sejuta bicara. Masing-masing mentafsir dengan cara pemahaman masing-masing. Sebelum ada tafsiran songsang lagi menjelekkan, baik aku jelaskan situasi sebenar.
Ini murid kelas 1 Amal. Sebaik aku masuk ke kelas, bertakung air di ruangan hadapan. Betul-betul depan 'white board' kelas. Macam mana aku nak mengajar sedangkan lantai becak?
Maka aku bertanya dalam gurauan,
"Kenapa banyak sangat air bertakung ni? Siapa kencing ni?"
"Air Irsyad tertumpah, cikgu. Hanna terlanggar," jawab beberapa murid.
Agaknya, si Irsyad ini baru sempat minum setitik dua sahaja sebelum dilanggar Hanna. Banyak betul air bertakung ni. Tidaklah aku marah pada Hanna. Dia bukan segaja pun. Dia ter...
Aku cuma minta Hanna memohon maaf pada Irsyad atas kecuaiannya itu.
Setelah itu, aku suruh seorang murid lelaki pergi ambil mop kat tandas. Sebenarnya boleh sahaja aku panggil mak cik 'cleaner' dan minta mereka tolong mopkan. Tapi hari ini aku nak ajar murid bertanggungjawab atas kesilapan mereka.
Setelah mop diambil, aku panggil Hanna dan beritahu,
"Air ini tumpah disebabkan kecuaian awak. Awak kena bertanggungjawab dan mop supaya kelas kita kembali selesa.
Awak pandai tak mop lantai? Pernah mop sebelum ini?"
*Geleng kepala.
"Tak apa, cikgu tunjukkan cara," balasku sambil menunjuk cara yang betul untuk mengemop lantai.
Sebaik faham, Hanna mula mengambil alih tugas. Murid lain pakat berkerumun dan mula menjerit-jerit,
"Cikgu! Saya nak buat juga. Saya pun tak pernah mop lantai sebelum ini."
"Cikgu! Saya pun pandai mop lantai. Nak buat. Nak buat!"
Hahaha. Budak-budak macam itulah. Berebut pula mereka nak cuba. Maka aku berilah peluang kepada beberapa orang untuk mencuba.
Setelah itu, kami sambung belajar dengan gembira.
Selain mengajar baca kira, kami juga ajar anak-anak kalian bertanggungjawab atas kesilapan sendiri. Kami bukan sekadar menghukum, malah kami mendidik untuk membetulkan kesilapan itu.
Beginilah situasi yang banyak berlaku di sekolah seluruh Malaysia. Namun aku tidak terkejut kalau ada netizen melihat gambar ini lantas memberi komen,
"Guru dera anak murid dengan mengemop lantai."
"Kami hantar anak kami ke sekolah untuk belajar, bukan jadi orang gaji."
"Guru pemalas menjadikan murid seperti hamba."
"Murid diajar menjadi 'cleaner' oleh guru yang tidak bertanggungjawab."
Ya, satu gambar sejuta bicara kan?
Orang sekarang lebih cepat menjatuh hukum sebelum menyelidik apa sebenarnya yang berlaku.. Satu gambar memberi beribu pengertian.. Pandang dengan mata kebaikan maka baiklah jadinya..
BalasPadam